Ahad, 24 April 2011

Pengenalan Ilmu Fiqh (Bahagian 2)


Setelah kita memahami maksud secara umum apa itu  ilmu fiqh, sekarang ini kita akan bincangkan secara terperinci apa yang dikeluarkan daripada takrif tersebut. Saya bahagikan kepada 3 iaitu:


  1. - Pertama ialah Hukum-hukum syarak
  2. - Kedua ialah Hukum 'Amali
  3. - Ketiga ialah Dalil-Dalil Syarak


Hukum Syarak

Hukum Syara' ialah ketetapan dari Allah perbuatan-perbuatan hamba yang mukallaf sama ada ia perlu dilakukan atau perlu ditinggalkan atau diberi pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya.

Pembahagian hukum syarak.

Daripada maksud hukum syarak, dapat disimpulkan bahawa hukum syarak terbahagi kepada tiga iaitu:

- Pertama: Perbuatan yang dituntut supaya melakukan.
  Di dalam pembahagian yang pertama ini terbahagi pula kepada kedua iaitu:

  • Tuntutan secara mesti untuk dilakukan
  • Tuntan tidak secara mesti iaitu tuntukan secara galakan dan tidak wajib

- Kedua: Perbuatan yang dituntu supaya meninggalkan.
- Ketiga: Perbuatan yang diberi pilihan samada melakukan atau meninggalkannya.

Kesimpulan yang kita dapati daripada pembahagiannya, perbuatan mukallaf yang mengikut hukum syarak terbahagi kepada lima iaitu:


  1. Pertama: Wajib iaitu perbuatan ataupun amalan yang mesti dilakukan dan jika ditiinggalkannya akan berdosa
  2. Kedua    : Sunat iaitu perbuatan ataupun amalan yang  digalakkan untuk dilakukan, apabila melakukannya mendapat pahala dan pabila meninggalkannya tidak mendapat dosa.
  3. Ketiga    : Haram iaitu perbuatan yang mesti ditinggalkan, pabila melakukannya akan mendapat dosa
  4. Keempat: Makruh iaitu perbuatan yang digalakkan untuk ditinggalkannya iaitu diberi pahala pabila   meninggalkannya dan tidak berdosa pabila melakukannya
  5. Kelima   : Harus iaitu perbuatan yang apabila melakukannya atau meninggalkannya tidak membawa kepadadosa dan pahala.


Tidak ada perbuatan yang dilakukan melainkan tertakluk kepada salah satu daripada lima hukum di atas. Perbahasan berkenaan dengan hukum-hukum ini dibahaskan secara panjang lebar di bawah tajuk 'hukum' di dalam Usul Fiqh .


Hukum Amali


Hukum Amali (Praktikal) boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

1) Ibadat
2) Mu'amalat

Kedua-duanya ialah  cabang-cabang ilmu yang akan dipelajari khusus di dalam ilmu fiqh.

Ibadat iaitu hukum hakam yang menyentuh hubungan antara manusia dengan Allah, ia merangkumi ibadat solat, puasa, zakat , haji dan lain-lain lagi. Ianya dibincangkan secara teliti di dalam Fiqh Ibadat.

Mu'amalat iaitu hukum hakam yang menyentuh hubungan antara manusia sesama manusia, ia merangkumi keseluruhan undang-undang umum mahupun khusus. Mu'amalat dipecahkan  kepada bahagian-bahagian berikut iaitu:


  1.  Hukum hakam berkenaan kekeluargaan yang merangkumi perkahwinan, penceraian,  pewarisan, nafkah dan sebagainya. Ianya dibincangkan di dalam subjek Nizom Usrah (نظام أسرة) atauFiqh Ahwal Syakhsiyah (فقه الأحوال شخصية)
  2. Hukum hakam berkenaan harta yang merangkumi  jual beli, sewa menyewa, gadaian jaminan dan sebagainya, ianya dibincangkan secara lanjut di dalam Fiqh Mu'amalat (فقه المعاملات)
  3. Hukum hakam berkenaan dengan pemerintahan dan pentadbiran negara merangkumi kewajipan melantik  ketua negara, tanggungjawab pemimpin dan hak rakyat. Ianya dibincangkan di dalam Nizom Hukum (نظام الحكم) atau Fiqh Siasah (فقه السياسة)
  4. Hukum hakam berkenaan dengan kehakiman dan pengadilan yang merangkumi membuat keputusanpendakwaan, prinsip-prinsip hukum, kesaksian, sumpah dan keterangan dan sebagainya. Ianya dibincangkan di dalam Fiqh Qodho' ( فقه القضاء )
  5. Hukum hakam berkenaan Ahli Zimmah (orang bukan islam yang mendiami dalam negara islam) merangkumi hak-hak dan tanggungjawab mereka terhadap negara dan sebagainya.
  6. Hukum hakam berkenaan dengan hubungan antarabangsa yang merangkumi hubungan negara islam dengan negara-negara luar dalam keadaan aman mahupun dalam peperangan. Ianya dibincangkan di dalam 'Alaqat Dauliyyah Fil Islam (العلاقات الدولية فى الاسلام)
  7. Hukum hakam berkenaan dengan kewangan negara yang merangkumi sumber-sumber pendapatannegara dan perbelanjaan-perbelanjaannya. Ianya dibincangkan di dalam Fiqh Siasah (فقه السياسة)
  8. Hukum hakam berkenaan dengan jenayat dan hukum yang merangkumi penetapan perkara-perkara yang terlarang dan hukuman-hukumannya, cara-cara menetapkan kesalahan-kesalahan jenayah dan perlaksanaan hukuman terhadapnya. Ianya dibincangkan satu persatu di dalam Fiqh Uqubat (فقه العقوبات)


Kesemua cabang-cabang Ilmu Fiqh ini insyaAllah akan dipelajari secara terperinci satu persatu bagi mereka yang mendalami Ilmu Fiqh.



Dalil-Dalil Syarak


Dalil-dalil syarak ialah sumber-sumber Ilmu Fiqh yang menjadi sandaran asas kepada ahli-ahli Fiqh dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Ianya terbahagi kepada dua iaitu sumber-sumber asal dan sumber-sumber sokongan.

Sumber-sumber asal dalam mengeluarkan sesuatu hukum terbahagi hanyalah kepada dua iaitu:

   1) Al Qur'an
   2) As Sunnah

Sumber-sumber sokongan ialah dalil-dalil tambahan dalam mengeluarkan sesuatu hukum menepati prinsip sumber asal iaitu Al-Qur'an dan As Sunnah. Ianya terdiri daripada:

  1) Ijmak
  2) Qias
  3) Istishab
  4) Masalih Mursalah
  5) Istihsan
  6) 'Uruf
  7) Syari'at Man Qablana

Kesemua dalil-dalil syarak ini dibahaskan secara lebih lanjut lagi di bawah tajuk sumber-sumber hukum dalam Usul Fiqh.


Penutup


Penjelasan yang diberikan hanyalah sebagai pengenalan asas buat yang mendalami Ilmu Fiqh ini, pencerahan yang diberikan juga hanyalah dikeluarkan daripada maksud ataupun takrif ilmu fiqh. InsyaAllah saya akan kongsikan dilain masa pembahagian-pembahagian yang ada di dalam Ilmu Fiqh.

Sedikit perkongsian berkenaan dengan pengajian kami di Jamiah Mu'tah bagi yang mengambil jurusan Syariah pengkhususan Fiqh Wa Usuluh, di dalam pembelajaran Ilmu Fiqh, subjek yang menjadi asas pertama pengenalan dalam Ilmu Fiqh yang perlu dan wajib diambil ialah kitab 'Pengenalan Pengajian Syariah Islamiyah' (مدخل لدراسة الشريعة الاسلامية)  karangan Dr Abdul Karim Zaidan.

Kitab ini seharusnya dipahami sebaik mungkin kerana ianya memberikan gambaran awal secara keseluruhan apa yang akan dipelajari dalam Ilmu Fiqh supaya tidak menjadi kejutan pada kita sebelum mengambil subjek yang lebih khusus.

Semoga perkongsian yang diberikan dapat menarik minat kalian semua untuk mengenali lebih dekat apa itu Ilmu Fiqh dan pembahagiannya. Sekian
/bye


























2 ulasan:

  1. salam ziarah
    teringat balik apa yang di belaja dulu. ^^

    entry yg sgt bermanfaat
    keep it up ^^

    BalasPadam

Catatan Popular