Ahad, 2 Ogos 2015

TINTA BICARA BUAT PEMUDA


Tinta ini hanya berbicara kepada PEMUDA yang besar jiwa, cekal diri, jauh emosi dan tinggi harapan pada ummah. Saya berulang-ulang kali memberatkan fikiran untuk menggali segala rasa demi melihat sebuah kesatuan dibina atas dasar taqwa (lhat maksud istilah ini secara mendalam) walau berbeza pandangan.
Sahabat PEMUDA, saya bukanlah insan yang banyak menyuburkan jasa malah hanya sebuah liabiliti yang tiada guna, mungkin memberatkan lagi bahtera yang sedang sarat dengan hulubalang-hulubalang bersemangat sado. Maka bicara ini saya tintakan dengan penuh rendah diri buat sahabatku yang disayangi PEMUDA.
Sahabat PEMUDA, saat loceng amaran memekik menandakan bahawa bahtera ini sedang berlayar dalam kawasan zon yang tidak selamat. Kapten menitahkan agar semua penghuni bahtera supaya berhati-hati dan kembali ke tempat duduk masing-masing. Saat tu pengharapan kita hanya kembali kepada Allah antara selamat ataupun tidak. Bagi penghuni yang merasakan bahtera ini sudah hampir karam, siap sedia untuk terjun ke laut yang luas lalu dihalang oleh penghuni lain menyebabkan bahtera ini terumbang ambing bukan hanya dilambung ombak yang membadai, bahkan diperkotak katikkan oleh penghuni yang mula kepanikkan. Maka atas jalan kebenaran, terimalah tinta ini dengan roh Ukhuwwah Islamiyyah.
Bagi dunia PEMUDA, saya mengenali dengan rapat dengan beberapa pimpinan atasan yang baru mahupun yang lama. Saya teramat sedih dengan keadaan yang menyebabkan bahtera ini mula menjadi kusut dengan kehadiran insan-insan yang bukan ahlinya. Kalau kalian sebar beberapa keburukan pimpinan PEMUDA yang lama@baru ala-ala chai, maka dengan ini saya hidangkan dengan hidangan yang teramat lazat kepada kalian kebaikan pimpinan-pimpinan PEMUDA baru dan lama yang saya hormati dan segani.
Saya mulakan dengan pimpinan-pimpinan yang lama. Izinkan saya untuk guna panggilan abang. Buat Abang Suhaizan Kayat. Actor PEMUDA di era PRU 13, beliau mempunyai matlamat yang jelas dalam membawa sinar baru kepada PEMUDA, tenaga-tenaga baru diserap tanpa bias demi kelangsungan wadah ini. Harapan beliau juga jelas namun dek hanya sekelumit salah kerana begitu lunak dengan rakan tahalluf menyebabkan semua longgokan idea beliau ditolak, saya teramat sedih dengan keadaan ini, sepatutnya kita ambil mana yang baik dan tegur secara hikmah ala-ala adik beradik menyebabkan beliau beralih angin. Insan ini patut menjadi sang rijal yang berdaya saing dalam PEMUDA namun apakah daya.
Abang Nasaie Ismail selaku orang tulis (Jabatan Kesetiausahaan) dalam arena PEMUDA yang lama, insan yang teliti dalam menitipkan kalam. Orang pakar dalam mengolah isu-isu semasa dan sering menjadi hulubalang kelas pertama bersama rakan pakatan berada di barisan hadapan. Berani menyuarakan hak mewakili PEMUDA dan tidak pernah luntur semangat walupun diasak dari kedua-dua arah. Walaupun letih, sosok ini juga sentiasa menadah ilmu di APIUM dan sayalah saksinya.
Abang Hasbie Muda yang sudah terkenal dengan tulisan kritikal dan analitikal, membangunkan sebuah akademi dalam PEMUDA demi melihat kelangsungan dakwah khususnya dalam bidang pendidikan. Tiada istilah putus asa dalam sosok ini, ke sana ke mari berjuang melalui tinta, bacalah simpulan kata beliau dengan mata hati, terbentang keikhllasan dan terpancar dari lubuk hati nurani. Saya yakin beliau bersama saya dalam melestarikan impian kita (sebar kebaikan) untuk negara pertiwi.
Abang Ustaz Ramadhan Fitri, saya yakin ramai yang tidak mengenalinya.. Dalam arena PEMUDA, beliau mengambil sikap bersederhana namun setiap gerak kerjanya jalan. Lihatlah wacara pemikiran dalam mendepani isu perbezaan pendapat dibahas olehnya secara lumat hasil bedah buku para ilmuan. Saya terlalu kerdil dengannya, bahkan saat beliau turun memberikan taklimat kepada pelajar-pelajar Jabatan Syariah dan Pengurusan APIUM, saya mengikutinya dan setiap bait lafaz yang terkeluar daripada mulutnya menjelaskan sosok tubuh orang yang berilmu seperti beliau, cair bak air istilah English@Arab. Ramai lagi hulubalang kelas pertama yang menempa nama seangkatan dengan mereka namun lihatlah pada jiwa mereka sebagai wakil kepada semua.
Bagi pimpinan baru, izinkan saya menitipkan panggilan menggunakan kakanda sebagai hormat pada mereka atas kapasiti pimpinan PEMUDA. Ketua hulubalang kami kakanda YB Ustaz Nik Mohamad Abduh, bahasanya indah seindah kuntuman bunga yang mewangi, tintanya selari dengan lafaz. Saya mengenali sosok ini dan beliau persis Arwah Tok Guru kami. Insan ini punya wawasan yang jauh dan cerah. Kalian mencerca beliau dengan longgokan cercaan namun kakanda tetap bersifat hati cekal turun setiap masa menemui rakyatnya, nilaian kalian melalui media namun nilaian kami melalui mata hati.
Kakanda Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, orang nombor dua selepas ketua hulubalang kami, saya pernah bersua dengannya saat beliau mengerahkan segerombolan pasukan hulubalang khas dari Marang untuk membantu mangsa banjir di negeri kami. Bersualah dengan beliau pasti kalian kagum dengan insan ini. Lihatlah kenyataan media orang nombor dua kami.. PEMUDA sedang persiap untuk membumikan asas, menjejakkan diri, pasakkan hati dan istiqamah untuk turun ke medan.
Kakanda Ustaz Ahmad Fadhli Bin Shaari, super senior saya di Maahad Tahfiz Pulai Chondong. Ketua Angkatan Perang hulubalang kami yang pernah menjadi cerminan Arwah Tok Guru suatu ketika. Insan yang lantang bersuara demi menyebarkan kebenaran. Tidak pernah mengenal erti letih dan lelah bila berbicara, biar abis suara namun terus berjasa. Kekuatan beliau diperkukuhkan sampai tahap maksima melawan badai membantu kapten untuk menyelamatkan bahtera. Begitu juga dengan hulubalang-hulubalang kelas pertama memasak diri membina kekuatan demi ummah yang jasanya tidak terhitung.
Kalian terpesona dengan permainan persepsi, maka saya pesonakan kembali dengan hakikat alam realiti. Semuanya mempunyai jasa yang menggunung tinggi. Sahabat PEMUDA dan Ex PEMUDA, bahtera ini dikemudi oleh insan-insan yang ikhlas berjuang kerana Allah, mereka tahan dek ombak, utuh dek pukulan, cekal dek hasutan dan terus berlayar sehingga ke saat ini. Saya mohon tolong jangan bocorkan bahtera ini. Seandainya kalian ingin terjun, persiaplah segala kelengkapan sebaik mungkin, bagi yang kekal tolong jangan lemparkan tusukan tajam pada insan-insan yang sudah membulat tekad (titipkan doa untuk mereka).
Kami bina bahtera ini berpuluh-puluh tahun lamanya, maka duhai sahabat PEMUDA. Saya terlalu ingin melihat gabungan kekuatan antara kita terbina tanpa sesuatu halangan. Sambutlah salam perdamaian antara semua demi kelangsungan wadah ini. Kita beza pada pemikiran namun kita sama pada asas, kita sama pada matlamat, kita sama pada dasar, kita sama pada idola, kita sama pada semangat. Jangan dek satu perbedaan, melondehkan 1000 persamaan.
Ayuh PEMUDA, saat ini saya alirkan air mata pengharapan demi umat dan Islam melalui wasilah yang menggabungkan elemen siasah dan tarbiyah. Saat ini, keluarkanlah segala teori asas dakwah ini secara praktikal. Kita bisa menghunusnya secara tepat penuh beradab. Saat kebenaran itu menjelma, tiada lagi yang bisa diseleweng. Kita pejuang kebenaran, andai salah kita terima dan mula membumikan kembali secara tuntas. Moga diterima tinta ini berbicara secara bisu buat PEMUDA.
"Istiqamah hingga Kemenangan"
Ahmad Syakir Bin Mohd Nassuruddin..
Ketua Panglima Perang PEMUDA Wilayah Rantau Panjang Kelantan
BACA SETERUSNYA- TINTA BICARA BUAT PEMUDA

SURAT CINTA BERBAU SYURGA BUAT USTAZ DR ROZAIMI



Ke hadapan kakanda Ustaz Dr Muhamad Rozaimi yang saya segani, maafkan saya kerana menukilkan satu coretan khas buat kakanda Ustaz Dr dalam ruangan ini. Coretan ini bukan untuk mengeruhkan lagi keadaan namun ingin menjernihkan kembali tali silaturrahim agar dapat disimpul lagi erat. 

Saya dan kakanda pernah berada di dalam bahtera keilmuan yang sama. Kita sama-sama merintis peluang untuk diri merasai nikmat mengutip seberapa banyak ilmu di Dataran Syuhada Mu’tah suatu ketika dahulu biarpun berbeda pada zaman.

Keilmuan ustaz dalam bidang hadith tidak dapat dinafikan lagi, perbahasan secara ilmiah khususnya dalam Ilmu Takhrij Hadith, Rijal Hadith, Manahij Muhaddithin, Asbab Wurud Hadith dan sebagainya mampu menyedarkan masyarakat akan kepentingan ilmu ini. Kakanda banyak dirujuk oleh masyarakat awam bagi mengenalpasti antara status hadith yang sahih ataupun palsu. Alhamdulillah.

Saya tahu bahawa ramai yang tidak senang dengan pendekatan yang saya bawa. Namun saya terinspirasi daripada semangat Surah Syura Ayat 40, menongkah arus menerjang badai insya-Allah. Saya mengikuti secara dekat tentang apa yang belaku dalam ruangan FB Kakanda Ustaz Dr. Sedikit terkilan dek kelakuan sesetengah insan yang tidak begitu tepat dalam tindakan sehingga terpalit kesan negatif kepada jamaah ini. Jamaah yang diajar supaya beradab dan berakhlak.

Saya dengan rendah diri memohon kemaafan buat Kakanda Ustaz Dr. di atas kelakuan tersebut. Saya secara langsung telah menegur dan permohonan maaf secara terbuka sudah dilakukan Alhamdulillah. Terimalah kemaafan kami dengan hati yang terbuka walaupun dilakukan di ruangan peribadi, saya khuatir akan tindakan tersebut menghitamkan lagi keadaan yang sudah kelam.

Semoga respon balas secara ilmiah “Artikel Ustaz Zaharudin” diterima juga oleh kami dengan hati yang terbuka. Sambutlah salam ukhuwwah ini dengan roh kebenaran bersulamkan keikhlasan demi menggapai syurga-Nya. Lantas terimalah surat cinta berbau syurga daripada saya yang serba kekurangan ini.

“istiqamah Menuju Kemenangan”

Ahmad Syakir Bin Mohd Nassuruddin
Ketua Penerangan dan Media Baru Dewan Pemuda Pas Kawasan Rantau Panjang Kelantan
BACA SETERUSNYA- SURAT CINTA BERBAU SYURGA BUAT USTAZ DR ROZAIMI

WARKAH CINTA BUAT USTAZ HASRIZAL



Menemui kakanda Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang saya hormati dan sayangi. Warkah ini terlalu kerdil buat kakanda Ustaz kerana saya hanyalah individu biasa yang baru menginjak ke umur 24 tahun. Tersangat mentah dalam arena perjuangan bahkan teraba-raba mencari sebuah erti kebenaran yang sebenar.

Saya terlalu kagum dengan sosok ini. Sebelum saya bermusafir ke Dataran Syam, hasil nukilan kakanda khususnya dalam buku “Rindu Bau Pohon Tin” yang mengisahkan cerita tentang Dataran Mu’tah dimamah oleh saya sebagai bekal apabila bertapa di sana.. Roda perjalanan kehidupan kita terselit sedikit persamaan. Kita berjuang untuk ilmu di dataran yang sama walupun zaman yang berbeza.

Hampir setiap masa saya melawati teratak blog kakanda bagi mendapatkan cetusan idea dan semangat. Kakanda Ustaz antara individu yang terawal menggunakan medium ini untuk menyebarkan dakwah. Saya sendiri pasti ramai yang tidak mengetahui suatu ketika dahulu, kakanda Ustaz pernah menulis banyak artikel ilmiah, perbahasan secara ilmiah mengikut ruang lingkup disiplin ilmu, antaranya perbahasan hukum muzik. Saya mengikutinya secara rapat dan banyak ilmu yang saya dapat.

Kakanda ustaz juga telah mengajar saya cara fikir yang kritis dan rasional mengikut kesesuaian suasana. Ustaz pernah ceritakan di dalam blog tentang bagaimana cara bertindak dengan menekan butang PAUSE dalam minda ketika anakanda ustaz menghempas papan kekunci laptop yang baru sahaj dibeli oleh ustaz. Pendekatan sebegini selalu saya ambil dalam meleraikan kekusutan tanpa melebarkan jarak beza.

Sehubungan dengan itu, saya mohon kepada sahabat-sahabat diluar sana agar berhati-hati menitip kata secara lafaz dan tinta. Beradablah apabila berbicara dengan individu yang banyak berjasa kepada ummah walau dalam lapangan yang berbeza.

Kakanda Ustaz Hasrizal, saya mengamati artikel luahan rasa yang dinukilkan oleh kakanda Ustaz yang bertajuk “Setia dengan Kebenaran Mengatasi Apa Jua Kepentingan.” Saya tersangat menghormati setiap bait-bait kata dengan penuh rendah diri bermatlamat untuk melestarikan nilaian ukhuwwah yang sebenar.

Pembabitan kakanda Ustaz dalam bidang perkaderan adalah suatu yang tersangat menguntungkan organisasi ini. Saya sebagai salah seorang anak muda terasa sangat bangga dengan ruangan masa yang kakanda sediakan. Kakanda telah mengorak langkah melawan arus untuk menyegarkan kembali roh perjuangan yang berteraskan Islam ini. Langkah demi langkah disusun namun kerenah dalam organisasi adalah menjadi kebiasaan. Tidak kira dalam organisasi mana pun.

Kemasukan ustaz-ustaz muda daripada luar negara dengan membawa idea yang berbeza pasti menyaksikan pertembungan idea. Saya tahu bahawa pengurusan untuk mengurus pertembungan ini kalau tidak diurus dengan baik, natijah yang akan keluar juga tidak baik. Begitu juga dengan kelemahan sesetengah daripada kita yang kurang berminat dengan aktiviti pembacaan harus menilik kembali dan kekuatan kita yang sebenar berada di mana.

Kakanda ustaz, saya tahu bahawa ramai dalam kalangan ustaz muda yang betul-betul bersemangat apabila turun ke lapangan buat kali yang pertama. Namun saya optimis, apabila semangat tersebut disalurkan pada jalan yang betul, pasti dapat mengubah kembali cara fikir dan cara bertindak kearah yang lebih matang dan inklusif untuk semua.

Menyentuh isu profesional dan agamawan, saya sendiri agak keliru kenapa isu ini sampai sekarang dimainkan oleh sesetengah pihak sampaikan ada dalam kalangan pimpinan kita turut bernada sinis mendendangkannya kepada masyarakat. Saya suka untuk mentafsirkan profesional sebagai orang yang pakar dalam bidang masing-masing tidak kira ustaz, peguam, pensyarah dan sebagainya. Apabila kita menggunakan satu-satu istilah itu ke arah menyatukan, sebarang persepsi buruk segera dapat dijauhkan.

Begitu juga dengan pengurusan organisasi bagi sesiapa yang terbiasa menjadi ahli khususnya berada dalam bidang kesetiausahaan. Tugasan yang cukup mencabar ditambah pula dengan lambakan kerja yang tidak berkesudahan. Organisasi kita juga turut mengalami keadaan yang sama. Moga-moga keadaan ini dapat ditempuhi sebaiknya dan diperbaharui dari semasa ke semasa.

Setiap kalam yang dinukilkan oleh kakanda Ustaz Haasrizal, moga dijadikan sebagai pedoman secara tuntas. Saya menganggap teguran itu sebagai sebuah muhasabah untuk seluruh jentera pemuda di semua peringkat disamping berpatisipasi tentang isu-isu semasa dalam negara. Hal-hal lain melibatkan kelakuan kakanda Ustaz usah diperbesarkan dan dijadikan sebagai bahan panas bak ‘pisang goreng.’ Cukup tidak mencerminkan akhlak kita yang sebenar.

Oleh itu, saya menghulurkan salam ukhuwwah, salam penyatuan dan salam kemaafan buat Kakanda Ustaz Hasrizal. Saya tersangat berterima kasih atas segala jasa yang dicurahkan oleh ustaz sepanjang penglibatan dalam jamaah ini. Akhir kata, marilah kita menbulatkan tekad untuk sama-sama membina sebuah masyarakat yang harmoni, saling hormat menghormati serta mendepani setiap halangan dengan roh ukhuwwah yang sebenar. Sekian.

"Istiqamah Hingga Kemenangan"

Ahmad Syakir Bin Mohd Nassuruddin
Ketua Penerangan dan Media Baru Dewan Pemuda Pas Kawasan Rantau Panjang Kelantan
BACA SETERUSNYA- WARKAH CINTA BUAT USTAZ HASRIZAL

AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 10)



Setelah jauh membawa sahabat mengembara ke alam ala-ala fantasi. Dalam siri ini, saya akan kembalikan semua ke alam kekeluargaan kami yang penuh warna warni. Mungkin ini adalah siri yang terakhir sebelum saya tinggalkan kalian semua dengan sebuah legasi penceritaan santai dan pelbagai demi mencapai ketenangan bersama. 

Cerita tentang ayahanda saya, dunia perbahasan sudah sebati dengan jiwa dan raga beliau. Hujah ditegakkan seiring berjalan bersama nas, balagah, mantiq dan lain-lain. Adakalanya jawapan yang diberikan bersifat unik bagi mematahkan hujah lawan. Gandingan pengalaman serta kepetahan membuatkan hujah beliau sama sekali sukar untuk disanggah.

Universiti Malaya Kuala Lumpur serta Nilam Puri pernah menjadi saksi akan personaliti beliau ketika wacana dan forum dijalankan. Bergandingan dengan Ustaz Nor Deris berserta dengan ustaz-ustaz (UMNO) yang lain dalam siri rapat umum yang dijalankan. Bersemangat tanpa isi menyebabkan hujah mereka mudah untuk dipatahkan, malahan digelakkan satu dewan oleh pelajar UM ketika itu (boleh rujuk bekas-bekas pelajar yang mengikuti forum tersebut). Sahabat juga boleh search kembali di dalam You Tube perbahasan sidang DUN negeri Kelantan beberapa penggal yang dahulu ketika ayahanda menyertai perbahasan dewan.

Saya sedar bahawa, keilmuan yang tinggi bukan hanya diukur pada gulungan ijazah yang kita usahakan semata-mata. Namun yang paling utama adalah perlaksanaan daripada setiap apa yang dipelajari, pengaplikasian setiap ilmu untuk dihidangkan kepada masyarakat serta penyediaanya secara telus dan amanah.

Benda yang paling sukar bagi saya untuk manage sehingga sekarang adalah apabila berhadapan dengan lambakan kerja untuk disiapkan dalam satu masa. (multi tasking) Tiadalah idola selain daripada ayahanda dan ibunda saya. Cerita tentang ibunda, ketika kami adik beradik masih lagi dalam usia kanak-kanak. Hanya tahu ingin bermain sahaja setiap masa, ditambah pula kami dikelilingi oleh sepupu yang begitu ramai dan port bermain di teratak saya. Dah la ibunda letih bertempur di Maahad, sekarang terpaksa mengawal 7 orang adik beradik yang mudah diracuni oleh sepupu-sepupu untuk terus bermain. Hal ini menyebabkan ibunda terpaksa melarikan kami adik beradik semua ke pantai, saat itu bolehlah ibunda mengajar dan memberikan tunjuk ajar (siapkan kerja sekolah) kami adik beradik sambil menghirup udara nyaman di pantai.

Begitu juga dengan ayahanda, setiap waktu akan turun melaksanakan tugasannya. Walaupun itu adalah tugasan ayahanda, bagi mengeratkan lagi masa dengan kami adik beradik khususnya lelaki. Beliau pasti akan membawa kami bersama beliau turun menemui masyarakat setempat. Selalunya ketika sarapan pagi, ceramah dan banyak lagi. Dengan cara itu membuatkan kami tersangat rasa dekat walaupun diselubungi lambakan kerja yang tidak berkesudahan.

Sahabat, saya jadikan ayahanda dan ibunda sebagai model bukan pada jasad mereka. Namun pada pembawakannya, pemikirannya, pendekatannya dan banyak lagi. Oleh sebab itu saya berdiri dalam kancah masyarakat dengan pendekatan saya tersendiri berpandukan mereka . Atas jalan inilah saya persembahkan kepada kalian “AKU ANAK PIMPINAN PAS”

Moga Istiqamah kita hingga kemenangan.

P/S: Gambar sebahagian cucu-cucu Tuan Guru Haji Daud ketika zaman Power Rangers, Ultraman Taro dan Dragon Ball.
BACA SETERUSNYA- AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 10)

AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 9)



Saya masih lagi tidak percaya dengan diri saya sendiri, bagaimana saya boleh siapkan catatan bersiri sehingga sampai siri yang kesembilan. Sungguh masih tak percaya, namun bak kata dalam lagu: “Percayalah...!!“ Maka, saya percaya kerana nukilan ini diilhamkan kerna saya sayangkan kesatuan, saya sayangkan kalian semua. Sebagaimana saya mahu tenang, dipersembahkan segala alternatif untuk tenangkan kalian juga.

Sebelum ini saya larutkan jiwa dan raga sahabat ke alam tafsir al-Qur’an. Sekarang, saya ingin upload and upgrade pemikiran sahabat ke satu proses (mempesonakan sahabat) via ilmu I’jaz al-Qur’an, ilmu ini pula saya kepilkan bersama fakta sains and ibrah (pengajaran). Istilah I’jaz diertikan sebagai ‘yang melemahkan’ mengikut terminologi Islam. Bagi mendaratkan (landing) ala-ala pesawat Malaysia Airline Boeing 777-200 jiwa dan raga sahabat ke lapangan kefahaman yang saya maksudkan ini, Surah al-Ibrahim ayat 24 dan 25 saya datangkan khas buat kalian.

Dalam ayat ini, Allah umpamakan orang-orang yang mengungkapkan kalimah yang baik bak sebatang pohon yang baik, akar tunjangnya tetap teguh, cabang pucuknya menjulang ke langit malah mengeluarkan buah tiap-tiap masa. Sungguh mengasyikkan perumpamaan Allah kepada kita. Kenapa Allah umpamakan kita dengan sebuah pohon? Tidak ada benda lain lagi ke yang sesuai untuk diumpamakan? Izinkan saya sahabat-sahabat untuk kita sama-sama terjun ke alam sains pertanian yang mungkin ada kalangan kita yang mempelajarinya semasa SPM.

Pohon @ tumbuhan sangat familiar dengan proses fotosistesis bermaksud proses pembuatan molekul makanan berenergi tinggi dari komponen yang lebih sederhana, yang dilakukan oleh tumbuhan autotrof (tumbuhan yang dapat membuat makanan sendiri). Proses fotosistesis ini menghasilkan karbohidrat dan oksigen daripada karbon dioksida, air dan tenaga cahaya matahari.

Sahabat, cuba fikir sejenak kita sebagai manusia… Kita sedut oksigen setiap masa dan dalam masa yang sama kita hembus karbon dioksida. Lihatlah fungsi pohon@tumbuhan saat itu, karbon dioksida cukup bahaya pada manusia, namun pada pohon@tumbuhan itulah makanannya. Hembusan berbisa pada manusia namun sangat bermanfaat kepada pohon@tumbuhan, malah dibalas manfaat tersebut dengan manfaat yang lagi besar iaitu mengeluarkan oksigen kepada semua makhluk. Betapa berjasanya pohon kepada kita dan sebab itu pemilihan pohon dalam perumpamaan ini jelas dan nyata bak bulan purnama dipagari bintang.

Oleh itu, ucaplah kata-kata yang baik sahabat-sahabat. Saat kita berhadapan dengan spesies-spesies manusia kurang akhlak dan adab, ucapkanlah juga kepada mereka kata-kata yang baik. Nescaya Allah pasti tidak akan menyia-nyiakan kebaikan yang sahabat-sahabat lakukan itu.

Berbicara soal emosi yang menjadi asbab pertelagahan terbesar sekarang. Sahabat, kita hidup dalam satu keluarga yang cukup besar, didalamnya terkandung pecahan keluarga yang cukup dikenali. Setiap keluarga pasti akan diketuai oleh ayahanda disusuli dengan tingkatan jalur kekeluargaan. Anaknya pula terlalu ramai dan mempunyai pelbagai latarbelakang dan sifat. Saat salah seorang ayahanda ini mengeluarkan kata-kata yang buruk kepada ayahanda yang lain. Secara tidak langsung pasti akan mengundang kemarahan anak-anak mereka dan menyebabkan situasi menjadi semakin parah. Saat itu, kembalilah semula kepada asal usul kita. Kita manusia bukan malaikat, semua antara kita mempunyai kekurangan. Belajarlah sahabat-sahabat untuk menghormati, usah cerca dan usah fitnah sahabat. Sambutlah semua dengan kata-kata yang baik.

Kita bisa kuat pabila kita pandai menghormati antara satu sama lain.. dan kita bisa terjunam ke lembah perpecahan malah diterukkan lagi dengan hempasan nilaian akhlak yang zero tanpa adab. Lemaslah dalam lautan persepsi dan minumlah secukup-cukupnya sampah kotoran kebiadapan kalian bila berhadapan dengan alam realiti. Bukan berfantasi ala-ala cerita Bajrangi Bhaijan.

Moga istiqamah ya sahabat grin emoticon

P/S: Maafkan sahabat saya Abdul Muqit Bin Muhammad kerna tidak bisa menitiskan air mata kerna beliau terlebih dahulu dibasahi oleh sang hujan yang turun mencurah-curah ha ha ha
BACA SETERUSNYA- AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 9)

AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 8)



Saat catatan ini tercipta dan terus menerus mengekalkan legasi jalan penceritaan separa santai, saya cuba berhati-hati secara total dalam mengungkapkan kata. Namun, bila luahan kata dibalasi dengan kalimat berbau sinis, cerca dan bersifat dogmatik. Maka persiapkanlah kalian dengan balasan bunga bahasa bersifat fully agnostik, jauh daripada prerogatif, unarrogant dan fleksibel.

Izinkan saya larutkan minda sahabat-sahabat ke alam tafsir al-Qur’an. Suatu cabang ilmu yang tersangat saya cintai, kalian bisa mengalirkan air mata saat membuka lembaran suci ini plus menikmati kelazatan makna setiap ayat-ayat suci al-Qur’an via tafsirnya.

Antara ayat yang banyak mengolah pendekatan saya dalam realiti semasa adalah di dalam Surah Al-Shura ayat 40 yang bermaksud: “Dan (jika kamu hendak membalas, maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; Dalam pada itu, sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak menyukai oang yang melakukan kezaliman.

Kalian bisa untuk cuba buka lembaran-lembaran tafsir karangan ilmuan-ilmuan kita yang tersangat saya hormati baik dalam tafsir klasik iaitu al-Tabari, al-Qurtubi, Ibnu Kathir, al-Baghawi,. Begitu juga dengan tafsir kontemporeri contohnya al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir Fi Zilal al-Qur’an, Tafsir Azhar dan banyak lagi. Dalam usaha untuk memahami ayat tersebut (Surah al-Shura ayat 40) secara tersurat dan tersirat. Saya suka akan gaya bahasa tafsir al-Sa’di, ringkas, padat dan mudah untuk dfahami. Dalam ayat tersebut terdapat tiga jenis unsur dan Unsur yang dimaksudkan adalah keadilan, ganjaran yang baik dan larangan tidak melakukan kezaliman. (nak tahu lebih lanjut boleh rujuk Tafsir Sa’di)

Bercakap tentang isu semasa, saya suka untuk hidangkan kepada sahabat satu isu yang bersifat inter politik, bangsa dan menyeluruh agar tidak bias dan kita mampu bersatu dalam satu kesatuan. (bertambah tenang berada di sini) Sahabat pernah dengar TPPA? Apa kaitan TPPA dengan kita? TPPA adalah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik. Perjanjian Multilateral terikat ini mempermudahkan semua ahli TPPA bebas berniaga secara terbuka (liberal). Namun masalahnya, semua perbincangan dibuat secara rahsia. Keadaan ini saya lihat semakin merumitkan plus boleh menyebabkan kesan negatif kepada negara kita. (Boleh search dalam google tanda kita peka) Moga-moga Dato’ Seri Najib membuat keputusan bijak dan tidak sebagaimana tindakan beliau tempoh hari kepada Tan Sri Muhyidin Yassin. Teringat pula lagu P Ramlee, " Dimana kan ku cari ganti, serupa denganmu.....bla..bla..bla"

Sahabat, saya cukup terkenangkan suasana ketika pengajian saya di Jordan dahulu. Saya bukanlah orang yang pandai berhujah, malah nak berbahasa baku pun digelakkan kenalan sebab lafaz yang terkeluar hanyalah loghat kelate. Saat sahabat-sahabat seperjuangan mula berbicara tentang dasar, perlembagaan persatuan, halatuju jangka masa panjang atau pendek, saya hanya terpaku dan bisu melihat kalian berhujah ala-ala parlimen penuh adab, cukup menyegarkan minda. Setiap suara mewakili blok pemikiran masing-masing dan kami di sana terbuka plus menjaga tatasusila. Saya memerhati dan terus memerhati dan bagi saya, medan sana hanyalah medan praktikal. Medan sebenar-benarnya yang patut menjadi cabaran buat kita adalah medan ini. Ya medan ini! Di sini sahabat-sahabatku! Ku rindukan suara perdamaian daripada kalian sahabat.

Tapi bak dalam lagu Taufik Batisah, Awak kat mana? Awak kat mana? Awak kat mana? hihi

Maafkan saya sebab catatan kali ini memberatkan sedikit cara fkir dan cara baca sahabat-sabahat.

P/S: Gambar kenangan bersama sebahagian sahabat saya Muhd Fadzil dan NazMi Afifidalam sebuah program di Jordan. Izinkan saya ya kakanda Ihsan Fadhli Al-Maliki untuk kepilkan gambar kenangan dalam catatan kali ini.
BACA SETERUSNYA- AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 8)

AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 7)



Saat ini, keadaan politik dalam negara kita semakin bercelaru. Ada dalam kalangan kita yang berpatisipasi dan sebahagian yang lain mula naik muak, ditambah pula negara kita berhadapan dengan pelbagai krisis yang semakin teruk. Maka dengan ini, saya ingin bawa sahabat-sahabat yang mahukan ketenangan ke satu daerah ala-ala fantasi secara santai dalam ruangan tersedia ini.

Dalam al-Qur’an, Allah selalu beri amaran supaya jangan berbuat zalim. Allah tidak berbuat zalim kepada sesiapa walau sebesar zarah (item yang terlalu kecil) namun yang melakukan kezaliman sebenarnya adalah manusia itu sendiri. Saat kezaliman itu tercipta, maka tunggulah bala daripada Allah. Kita tercipta bukan kerna dunia, bahkan matlamat akhirat menanti dengan sebuah episod kehidupan yang abadi. Jagalah setiap tutur kata dan tindakan.

Di medan dakwah, aspek utama yang ditekankan adalah akhlak. Hampir semua murabbi-murabbi pendidik termasuk (ayahanda dan ibunda) saya memberikan penumpuan khas terhadap subjek ini. Walaupun kita belajar adab dan akhlak hanya di bangku sekolah, praktikalitinya berterusan sehingga mati. Bila kita berakhlak, kita pasti akan dihormati kawan dan lawan. Sudah tentu ruang untuk kita lontarkan idea (berdakwah) terbuka seluas-luasnya hanya dengan memakai pakaian akhlak dan adab yang baik. Sebaliknya, bila nilaian ini dihempas ke lantai maka datangkanlah seberapa banyak (nasihat/kebaikan) pasti akan tidak dipeduli.

Sahabat, saya dilatih untuk berjiwa besar sejak daripada kecil oleh kedua ayahanda dan ibunda saya. Saya hanya banyak memerhati dan terus memerhati. Saat dilemparkan ke suatu negara yang terlalu asing, tiada satu istilah pun yang saya kuasai bila berkomunikasi dengan kawan-kawan setempat. Hanya tahu balas, “I don’t understand dan terus blahh.” Cukup memberikan cabaran buat saya untuk bergelut dengan masa sambil memberanikan diri ke tahap yang maksima demi ilmu (kecek ore putih tapi tok panda jugop). Alhamdulillah, saya berpuas hati walaupun hanya sedikit.

Tiadalah orang yang paling cakna melainkan ayahanda saya, ke mana sahaja saya bermusafir beliau akan selalu datang ke sisi sambil memperingatkan agar berhati-hati dan berpesan akan potongan doa yang perlu diamalkan setiap masa. Sejak kecil sehinggalah sekarang. Tak sempat saya talipon mengatakan bahawa saya dah sampai ke destinasi yang dituju, beliaulah yang terlebih dahulu menalipon saya bertanya, “Kir sapa dah ko?” Inilah ayahanda saya yang merupakan pimpinan kalian semua.

Sahabat, belajarlah dengan kehidupan kerna dengan kehidupan, sahabat pasti akan dapat mempersiapkan diri sebaiknya. Kalau ingin berjasa kepada ummah, maka mulalah fikir macamana caranya. Saya sejak daripada dulu memikirkan caranya dan Alhamdulillah di medan sosial inilah saya berkongsi dengan kalian.

“Istiqamah Pada Kebenaran”

P/S: Zaman dulu kala time smart hihi
BACA SETERUSNYA- AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 7)

AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 6)


Saya suka dalami maksud tersirat disebalik perumpamaan-perumpaan yang Allah sebut di dalam al-Qur’an. Kesemua perumpamaan-perumpamaan ini ditujukan kepada perilakunya mengikut konteks ayat masing-masing. Adakalanya perumpamaan diaplikasikan dengan uslub yang sangat menarik, contoh orang yang bersedekah umpama satu benih yang terkeluar daripadanya tujuh tangkai, manakala setiap tangkai pula terkandung 100 biji menceritakan besarnya fadilat sedekah. Dalam masa yang sama, dibentangkan perumpamaan yang bersifat keras, contohnya bagi orang yang tidak mahu memahami hakikat kebenaran, diumpamakan sebagai “binatang” malah lebih teruk daripada itu. Pendekatan sebeginilah yang selalu diterapkan oleh pimpinan sesuai dengan konteks isu yang berlaku.

Teringat pula saya akan satu cerita salah seorang bekas pimpinan yang menempa nama suatu ketika dahulu menabur jasa kepada salah satu kawasan parlimen di Negeri Serambi Mekah. Ayatnya berbunyi: “Semasa saya turun menziarahi penduduk sekitar dalam kawasan saya, terdapat sebuah teratak kecil terdiri di tengah-tengah belantara, penghuninya hanyalah penoreh getah, saat saya berjalan melintasi pintu hadapan teratak ini, terdapat satu longgokan getah. Manakala di sudut belakang rumah pula terdapat satu longgokan lagi. Apabila ditanya kepada pemiliknya, dengan senyuman pemiliknya menjawab, longgokan di depan rumah adalah infaq saya kepada PAS manakala yang berbaki adalah untuk saya dan keluarga. Sebab itu Allah pelihara PAS sehingga sekarang kerana ada insan yang ikhlas berjuang.”

Saat cerita ini mandarat di lapangan “telinga” saya (riwayat mutawatir daripada sahabat). Terus tertanam dalam diri saya berserta yakin bahawa bahtera ini kekal dan akan dipelihara oleh DIA kerana kita mempunyai insan yang ikhlas berjuang kerana Allah biarpun hanya seorang yang bertitle “penoreh getah.” Percayalah kepada saya sahabat.

Ayahanda saya tahu akan kekurangan beliau, sebab itu generasi pelapis (adik beradikku) diirintis agar sumber kekuatan yang terhasil membuahkan natijah yang lumayan. Menjelang usia saya menjejak ke umur 13 tahun, saya dilempar ke satu negara yang cukup asing, teramat asing bagi saya sebagai seorang kanak-kanak riang. Apabila ditanya, “nak belajar kat sana tak?” dengan pantas saya menjawab ya walhal dalam memori saya hanya berfikir begini, “Alangkah bezznyer boleh naik kapal terbang.” Nikmat menaiki kapal terbang hanyalah nikmat sementara yang cukup mengaburi mata saya cisss. Setibanya di sana, baru tahu bahawa saya sekarang berhadapan dengan satu suasana baru, ditambah pula saya tidak mampu lagi berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka. Adess

Nilai tambah disebalik kekurangan inilah yang akan menyempurnakan harapan ayahanda terhadap ummah, beliau mencipta generasi sebagai bekalan untuk masa akan datang. Kekurangan yang dimaksudkan adalah penguasaan bahasa inggeris dan hafalan al-Quran.

Apabila disemak kembali susur galur kehidupan, pasti memberikan nafas dan kekuatan kepada saya dari semasa ke semasa untuk terus istiqamah atas jalan ini. Sebab saya tahu bahawa saya juga telah dipersiap untuk ummah. Ya untuk kalian semua. Istiqmah senyum yer sahabat.

P/S: Gambar kenangan berkelana di negara orang
BACA SETERUSNYA- AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 6)

AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 5)



Gaya bahasa al-Qur’an cukup indah lagi menakjubkan, tersemat padanya kekayaan bahasa bercirikan aras tinggi, aras rendah, teguran keras@lembut dan sebagainya yang dikompreskan dalam kitab bermukjizat ini. Sebab itu, dalam mengungkapkan kata pada lafaz dan lembaran , jangan kita biasakan diri melemparkan perlian kepada orang kerna tidak ketahuan, balasan perlian orang lain lagi berbisa daripada kita. Berhati-hatilah saudara.

Banyak kal saya ulang dan terus ulang bahawa rakyat Kelantan mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak ada pada yang lain. Orang timbulkan persoalan bahawa, “PAS tak akan ke mana, mungkin hanya dapat berkubu di Kelantan dan Terengganu sahaja.’ Saya ingin respon balik kenyataan itu dengan menyatakan bahawa, “Disebalik kubu PAS itulah, insan-insan yang selalu menempa nama di media hari ini dinobatkan oleh penduduk setempat sebagai wakil suara mereka d Parlimen , Arwah Tok Guru Nik Aziz yang kami sayangi telah berjaya mendoktrinkan rakyat Kelantan bahawa kita berjuang bukan kerana individu, namun kita berjuang kerana jamaah. Ya kerana jamaah dan berterima kasihlah pada kami.”

Bercakap tentang pendidikan dalam institusi kekeluargaan. Saya akui bahawa saya adalah anak yang gagal, dulu saya terlalu malas sehinggakan istilah hari dalam bahasa inggeris pun saya hanya ingat sampai Tuesday, teruk bukan? Memaksa saya dihantar ke Kota Bharu bagi mengekang aktiviti lepak ala-ala koboi (maklumlah budak kampungkan). Tugas sekunder pendidikan saya terpaksa diambil alih oleh pengajar-pengajar yang tersangat saya sayangi dan hormati sampai kini.

Dr Mujahid Yusof Rawa yang saya segani adalah insan yang banyak berjasa kepada jamaah, tolong jangan londehkan personaliti beliau. Sosok inilah yang menggerakkan usaha mendekatkan Islam amnya kepada non Muslim. Jasanya terlalu besar bahkan menggunung tinggi bak gunung everest!

Saya diceritakan oleh ayahanda saya bahawa Tok saya dengan Tuan Guru Yusuf Rawa (ayah Dr Mujahid) terlalu rapat. Mereka satu pengajian di Mesir, sampai satu saat tok saya minta agar Tok Guru Yusuf Rawa mengajar dia bahasa inggeris kerana Tok Guru Yusuf Rawa antara orang yang menguasai bahasa inggeris ketika itu, manakala tok saya pula diminta untuk mengajar bahasa arab dek ketinggian ilmunya dalam berbahasa Arab. Sebab itu, ayahanda saya selalu ucap bahawa dia tersangat hormat kepada sosok ini. Tidak pelik semasa Muktamar terakhir berlangsung di Kuala Sellangor, saya menjadi saksi akan keakraban mereka. Lama tidak bersua dimulai dengan pelukan erat sang sahabat. Indahnya ukhuwwah disemai oleh mereka.

Tatkalaa ayahanda saya masih lagi kanak-kanak, beliau selalu dibawa oleh Tok saya. Sebab itu tidak pelik, tok saya sudah memberikan peluang untuk ayahanda saya bertazkirah seawal umur 13 tahun. Umur 17 sudah berhujah dengan Imam UMNO di kampung, dibawa bersama kitab tok (Orang Kampung Meranti tersangat tahu cerita ini), mahu keluar imam masjid tersebut tanpa bahas. Di Sekolah Arab pula (ketika itu, Kelantan di bawah pemerintahan UMNO), berhujah dengan ustaz yang cenderung kepada UMNO kerana membawa poster calon PAS ke sekolah. Naik pening ustaz tersebut dan akhirnya digelakkan oleh sahabat-sahabat ayahanda (boleh tanya sahabat seangkatan ayahanda di Sekolah Menengah Arab Pasir Mas).

Warna warni nilaian sejarah yang saya ceritakan ini kerna saya terlalu inginkan sahabat-sahabat semua lapang bila bertandang ke FB saya. Jauh daripada keserabutan dengan isu-isu semasa yang selalu merumitkan keadaan. Sebagaimana saya sayangkan bahtera ini. Saya juga sayangkan semua dan berharap kita dapat meneruskan legasi perjuangan dengan nilaian yang tinggi, jauh daripada emosi dan berpatisipasi dengan jayanya. Terus istiqamah senyum ya sahabat grin emoticon

P/S: Meja makan di teratak kami yang tidak lekang daripada trafik keluar masuk kitab-kitab yang silih berganti.
BACA SETERUSNYA- AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 5)

AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 4)


Entahlah, saya pun tidak tahu daripada mana semangat menulis ini timbul walhal sebelum ini tidak pernah lagi saya meninta kalam sehingga sebegini rupa. Dah lebih daripada kebiasaan yang sunat (tiga). Banyak point yang selalu keluar juga dipengaruhi oleh olahan gaya bahasa lembaran yang saya cintai (Al-Quran). Saat bersama dengannya, terhasil banyak finding yang mengagungkan dan saya akan cuba aplikasikannya dalam bentuk catatan sebegini. Insya-Allah.
Kedengaran dengan jelas suara-suara sumbang mengatakan PAS hanya sebuah parti politik sebagaimana parti yang lain. Maaf saya katakan bahawa itulah perbezaan ketara antara PAS dengan parti yang lain. Kita digabungi oleh dua unsur penting iaitu politik (siasah) dan tarbiyah. Bukan hanya tahu berpolitik sahaja namun dikepilkan bersama dengan tarbiyah. Ahli selalu diingatkan untuk berusrah, berqiamullai dan sebagainya (perkara kebaikan). Kekuatan kita bukan hanya ditunjangi oleh semangat jasmani, bahkan disusuli dengan roh kerohanian. Ingat! PAS memang sebuah wasilah untuk kita mencapai keredhaan Allah, tapi hormatilah insan-insan yang ikhlas berjuang dan tidak melondehkan bahtera ini. Kalau ingin beralih pandang, maka silalah dengan secara terhormat mengkut amalan demokrasi berparlimen dan berperlembagaan.
Sahabat, saya dididik bukan untuk taksub dengan PAS, saya juga dididik bukan untuk menghentam sesiapa sahaja yang serang PAS, tidak saudara. Namun saya dididik untuk memahami Islam terlebih dahulu, saya dididik untuk mendalami ilmu agama sebanyak mungkin dan saya juga dididik untuk belajar mencari kebenaran. Ketika ayahanda saya melepaskan saya untuk berkelana buat beberapa ketika disebuah kampung padang pasir yang gersang. Tiada satu kalimat pesanan pun terkeluar dari mulut ayahanda agar bila berada di sana, carilah PAS… tidak saudara Cukup sekadar kutiplah mutiara ilmu sebanyak mungkin. Sampaikan saya ditegur ayahanda kerana terlibat secara langsung dengan persatuan dan mintak saya lebihkan kepada pembelajaran ilmu.
Sahabat, ayahanda saya memang terkenal dengan insan yang teliti (detail) dalam sesuatu perkara. Saya selalu ditegur tatkala bacaan dalam solat saya tidak melepasi lafaz sebutan huruf yang sebenar, selalu ditegur apabila tersalah baris walaupun dalam bacaan doa selepas solat. Sampaikan saya mengeluh adess kenapa sampai begitu sekali, apabila berfikir kembali pendekatan yang digunakan. Itulah cara yang terbaik dalam menyemai sebuah landskap masyarakat yang kaya dengan nilai-nilai murni. Hujah yang teliti, ucapan yang jelas dan perbezaan yang mengukuh. Ohh alangkah indahnya hidup ini.
Disebalik keberjayaan ayahanda saya, tiadalah insan yang teristimewa dalam hidup kami melainkan ibunda saya yang tercinta. Beliaulah segala-galanya, mengambil alih tugas ayahanda tatkala kesibukan melanda untuk mendidik saya dan adik-adik. Tidak pernah mengenal erti penat dan lelah, ibunda saya turut turun ke lapangan menyampai bekal buat ummat. Sosok ini bergandingan secara langsung menggerakkan misi dakwah. Daripada kecil sehinggalah dewasa, kami sudah terbiasa dengan situasi semua sibuk menuju ke destinasi masng-masing. Ayahanda ke arah sana, ibunda pula ke arah sini, saya pula diam seribu bahasa. Semua ini tidak lain dan hanyalah untuk kalian.
Sahabat, belajarlah untuk menghargai sebuah perhubungan antara ibu dan bapa. Taatilah mereka dan janganlah sakiti hati mereka. Cubalah sedaya upaya untuk gembirakan mereka. Saya ingin semua tahu bahawa saya sangat sayangkan mereka sepertimana mereka membesarkan saya dengan serba kekurangan di atas jalan dakwah.
Kita istiqamah kerana kebenaran.
P/S: Belajarlah daripada sejarah, Insya-Allah kita akan selamat.
BACA SETERUSNYA- AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 4)

AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 3)



Sahabat, saya teringin sangat melihat wadah perjuangan ini mekar dengan nilaian akhlak yang tinggi. Inilah antara sebab kenapa golongan ulamak diletakkan pada kedudukan yang tertinggi. Mereka mendidik masyarakat mengikut acuan yang sebenar. Sahabat, percayalah kepada saya, tidak kira insan itu bertaraf professional dalam bidang masing-masing (agama atau lain-lain), sekiranya niat mereka bukan kerana Islam. Pasti mereka tidak akan kekal lama dalam wadah ini (percayalah apa yang saya cakap).

Wadah perjuangan kami sekeluarga bukan bermula di era 90an atau 80an, tapi bermula sejak daripada mula tertubuhnya PAS. Arwah datuk saya iaitu Tuan Guru Haji Daud bin Haji Yusuf merupakan salah seorang ilmuan suatu ketika dahulu, beliau adalah Tok Guru Pondok dan dalam masa yang sama pernah menjadi Wakil Rakyat PAS di Dun Tumpat Barat selama dua penggal bermula tahun 1956.

Saya selalu diceritakan oleh ayahanda tentang liku-liku perjuangan PAS. Saat ketika itu, tok saya antara orang yang tegas tika berhujah serta disegani kawan dan lawan. Berhadapan dengan UMNO ibarat berlawan dengan musuh yang nyata. Pos cawangan diruntuhkan, ceramah disabotaj, malahan lebih teruk daripada itu diperlakukan. Sahabat, saat itu penyokong PAS hanyalah terdiri daripada penoreh getah, penjual kecil kecilan, pemandu teksi. Istiqamah mereka kekal thabat.

Rentetan kronologi yang berlaku berkenaan dengan PAS saya ikuti secara langsung melalui ayahanda saya sendiri. 1995 merupakan detik hitam bagi keluarga kami, ayahanda diminta untuk bertanding di Dun Meranti, Ya detik hitam kerana ayahanda saya bukan lagi mutlak milik kami, namun milik kalian semua. Masa untuk bersama ayahanda kami juga terhad kerana masanya diperuntukkan seluasnya untuk kalian. Kami adik beradik menelan rasa kelat ini kerana ayahanda kami korbankan masa untuk umat melebihi kami. Selalu kami ditinggalkan.

Saya mengimpikan agar ayahanda saya selalu berada di sisi, selalu berikan tunjuk ajar, selalu meluangkan masa untuk berkongsi cerita namun tidak kesampaian. Ya saudara, tidak kesampaian dan hanyalah sekadar sahaja. Sebab itu setiap mutiara kata yang terungkap darpada ayahanda, saya pegang seeratnya. Antaranya: “Belajar sungguh, kalau tidak faham tanya” “Kalau belajar duk di hadapan” “Selalu rujuk kamus.”

Di dalam teratak ini terkandung 1001 cerita. Saya juga tahu tentang apa yang berlaku namun tidak menjadi asbab untuk saya hamburkan kata-kata kesat malahan makian kepada pimpinan mahupun bekas pimpinan. Kami adik beradik lelaki dipersiapkan oleh ayahanda sebaik mungkin, sebab itu semua adik beradik lelaki kami dihantar untuk menghafal al-Quran. Barulah sekarang saya faham kenapa kami dipersiapkan sebegini rupa. Al-Quran itu indah, wajib untuk penghafalnya juga mempunyai akhlak yang indah.

Sahabat, saat kalian semua diberi peluang untuk merasai nikmat bersama keluarga setiap masa. Luangkanlah masa juga walupun sedikit untuk ummah (berdoa). Percayalah, kalian semua akan rasai ketenangan apabila mengikhlaskan diri hanya kepada-NYA.

Moga Istiqamah sahabat.

P/S: ADUN berserban yang berada di barisan hadapan adalah datuk saya ketika sesi bergambar ADUN kelantan tahun 1956.
BACA SETERUSNYA- AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 3)

AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 2)



Catatan saya di sini hanyalah sebuah lembaran kecil tidak bersuara, nukilan ini hanya kepada insan yang mencari kebenaran bukannya kemenangan semata-mata. Oleh itu,bacalah dengan mata hati, pasti kalian tenang di sini.

Bercakap tentang kami, banyak perkara yang saya ingin kongsikan kepada semua. Di kampung Meranti terletaknya teratak kami. Dari sudut luaran mungkin kalian melihat ianya hanya sekadar teratak namun kami sebagai penghuni, tersimpan sebuah amanah besar kepada mesyarakat.

Setiap kali rumah terbuka diadakan, kami adik bradiklah yang bersusah payah bersedia sejak daripada malam untuk meraikan kalian semua. Selalu pada hari raya pertama, raya kami adalah raya untuk kalian semua. Semua diraikan dari pagi sehinggalah petang.

Apabila sambutan raya melabuhkan tirai, ruang tamu yang pada mulanya dipenuhi lauk pauk akan berubah 90 darjah kepada perpustakaan mini yang berpenghuni. Meja makan akan mula dipenuhi dengan kitab-kitab yang sentiasa menjadi rujukan kepada ayahanda tak kira tafsir, hadith, sirah, fiqh, lughah malahan kamus al-marbawi pun tetap setia bersama.

Apabila ketiadaan tetamu, ruangan ini akan menjadi medan ilmu, Ada sahaja masa kosong, kitab yang tersedia akan terus dibuka, bukan sahaja baca malahan ditulis dalam kertas kecil dalam bahasa jawi. Pernah sekali kami sekeluarga ingin ke kenduri,saat semua sudah siap sedia, ayahanda masih lagi dikerusinya untuk siapkan nota sambil berkata: "Kejap2 buwi babo limo minit, ckit lagi nih."

Di ruang tamu ini kami mempersiapkan juadah ilmu buat kalian semua sebelum dihidangkan dalam majlis. Deretan almari kitab yang tersedia bukanlah untuk hiasan semata-mata, bahkan isinya dibuka untuk memahamkan ummah. Selalu saya dan umi akan jadi assistant setia untuk cari rujukan kitab. Sekiranya tidak berkesempatan, ayahanda akan menelifon bertanyakan tentang potongan ayat ini daripada surah mana dan ayat yang ke berapa. Begitulah roda kehidupan kami, bukan sahaja kami malahan juga pada pimpinan yang lain.

Kedengaran setengah suara menunding secara spontan bahawa pimpinan jadikan nas sebagai pelaris politik. Saudara, dengan nas kami mengajar masyarakat cara politik yang sebenar, kami mengajar masyarakat erti indahnya hidup bersyariat, jauh pula daripada fitnah malahan makian, kita belajar untuk berinteraksi dengan nas. Adunan tersebut bukan secara literal semata-mata saudara tapi dianalisis secara tafsili (sampai peringkat bahas kedudukan baris yang tepat - nahu soraf).

Ya bukan senang bila berada dalam medan ini, terpaksa membahagikan masa dengan cukup baik antara ummah dan keluarga. Ayahanda saya siang malam memerah keringat menggunakan seluruh anggota badan terutamanya suara untuk berhadapan dengan masyarakat. Namun bila bersama dengan kami adik beradik khasnya bila menjawab telefon, suaranya bertukar seakan-akan orang yang tersangat ceria, kami tahu kerna dengan suara itulah pengubat sedikit kerinduan bersama.

Ketahuilah, sekelumit usaha ini mengharapkan bekal kepada kami di SANA nanti. Moga istiqamah sahabat. Senyum selalu

"Say no to Character Assassination" (Pinjam quote daripada sahabat)

P/S: Gambar helaian nota kecil ayahanda
BACA SETERUSNYA- AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 2)

AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 1)



Dikala semua sedang emosi, saya mohon sahabat-sahabat baca dengan hati yang tenang sepertimana tenangnya saya sewaktu menitipkan kata-kata ini.

Mungkin tmbul dalam benak fikiran kalian kenapa tidak ramai anak pimpinan PAS yang mengikuti jalan perjuangan ayahanda mereka? jawapannya ya! bukan senang untuk berada dalam medan ini, tak usah bicara soal anak, walhal pemimpin sendiri juga kecundang dibawa arus deras.

Bila bicara soal pimpinan PAS termasuklah ayahanda saya sendiri, mereka sudah menginfakkan seluruh jiwanya untuk perjuangan, sebab itu saya dan adik-adik dipersiapkan dengan ilmu agama sebagai keutamaan kerana ayahanda kami mahu kami faham kenapa beliau berada dalam medan ini.

Saudara, kami adik beradik selalu ditinggalkan.. dulu masa saya kecil bangun pagi selalu bertanya: “mana babo?,”
umi jawab: “babo ada mesyuarat, nati baliklah tue.”
Susah untuk ketemu satu masa kosong khas untuk kami sekeluarga kerana masa ayahanda kami adalah untuk kalian semua, ya khidmat untuk kalian.

Selalu ayahanda kami balik lewat, kadang-kadang pukul 3 pagi baru sampai rumah, lepas subuh dah bersiap untuk ke program. Kerja tiada had masa, raut muka keletihan jelas terpancar, letih kerana umat.. kerana kalian semua.

Pernah satu ketika, ayahanda terlalu letih kerana pulang lewat daripada mesyuarat dan terus berpesan kepada saya agar jangan ganggu sebab beliau nak rehat. Selang beberapa minit, ada orang datang ketuk pintu rumah ingin berjumpa. Aduhh macamana ini, akhirnya terpaksa tebal muka ketuk pintu bilik ayahanda dan cakap ada orang datang jumpa. Baru sahaja nak terlelap tapi tetap bangun untuk layan tetamu. Saat kaki melangkah keluar daripada bilik, wajah ayahanda bertukar 90 darjah daripada letih kepada ceria dan terus layani tetamu tersebut. Aku pula terpaku, daripada manakah kekuatan ini dihasilkan.

Sebab itu kadangkala akibat daripada bebanan tugas yang menggunung menyebabkan kami terabai. Tak pelik dalam kalangan anak pimpinan, sebut PAS pun tidak dihiraukan.

Jalan ini bukan jalan yang mudah, setiap masa wajib memikirkan masalah umat. Tolong jangan cerca pimpinan dan juga bekas pimpinan, ayahanda saya selalu puji Dato Wan Rahim kerana beliau banyak berjasa dalam Parti. Tolong doakan agar semua istiqamah atas perjuangan Islam.

Salam sayang buat semua.
BACA SETERUSNYA- AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 1)

Catatan Popular