Ahad, 2 Ogos 2015

AKU ANAK PIMPINAN PAS (Siri 3)



Sahabat, saya teringin sangat melihat wadah perjuangan ini mekar dengan nilaian akhlak yang tinggi. Inilah antara sebab kenapa golongan ulamak diletakkan pada kedudukan yang tertinggi. Mereka mendidik masyarakat mengikut acuan yang sebenar. Sahabat, percayalah kepada saya, tidak kira insan itu bertaraf professional dalam bidang masing-masing (agama atau lain-lain), sekiranya niat mereka bukan kerana Islam. Pasti mereka tidak akan kekal lama dalam wadah ini (percayalah apa yang saya cakap).

Wadah perjuangan kami sekeluarga bukan bermula di era 90an atau 80an, tapi bermula sejak daripada mula tertubuhnya PAS. Arwah datuk saya iaitu Tuan Guru Haji Daud bin Haji Yusuf merupakan salah seorang ilmuan suatu ketika dahulu, beliau adalah Tok Guru Pondok dan dalam masa yang sama pernah menjadi Wakil Rakyat PAS di Dun Tumpat Barat selama dua penggal bermula tahun 1956.

Saya selalu diceritakan oleh ayahanda tentang liku-liku perjuangan PAS. Saat ketika itu, tok saya antara orang yang tegas tika berhujah serta disegani kawan dan lawan. Berhadapan dengan UMNO ibarat berlawan dengan musuh yang nyata. Pos cawangan diruntuhkan, ceramah disabotaj, malahan lebih teruk daripada itu diperlakukan. Sahabat, saat itu penyokong PAS hanyalah terdiri daripada penoreh getah, penjual kecil kecilan, pemandu teksi. Istiqamah mereka kekal thabat.

Rentetan kronologi yang berlaku berkenaan dengan PAS saya ikuti secara langsung melalui ayahanda saya sendiri. 1995 merupakan detik hitam bagi keluarga kami, ayahanda diminta untuk bertanding di Dun Meranti, Ya detik hitam kerana ayahanda saya bukan lagi mutlak milik kami, namun milik kalian semua. Masa untuk bersama ayahanda kami juga terhad kerana masanya diperuntukkan seluasnya untuk kalian. Kami adik beradik menelan rasa kelat ini kerana ayahanda kami korbankan masa untuk umat melebihi kami. Selalu kami ditinggalkan.

Saya mengimpikan agar ayahanda saya selalu berada di sisi, selalu berikan tunjuk ajar, selalu meluangkan masa untuk berkongsi cerita namun tidak kesampaian. Ya saudara, tidak kesampaian dan hanyalah sekadar sahaja. Sebab itu setiap mutiara kata yang terungkap darpada ayahanda, saya pegang seeratnya. Antaranya: “Belajar sungguh, kalau tidak faham tanya” “Kalau belajar duk di hadapan” “Selalu rujuk kamus.”

Di dalam teratak ini terkandung 1001 cerita. Saya juga tahu tentang apa yang berlaku namun tidak menjadi asbab untuk saya hamburkan kata-kata kesat malahan makian kepada pimpinan mahupun bekas pimpinan. Kami adik beradik lelaki dipersiapkan oleh ayahanda sebaik mungkin, sebab itu semua adik beradik lelaki kami dihantar untuk menghafal al-Quran. Barulah sekarang saya faham kenapa kami dipersiapkan sebegini rupa. Al-Quran itu indah, wajib untuk penghafalnya juga mempunyai akhlak yang indah.

Sahabat, saat kalian semua diberi peluang untuk merasai nikmat bersama keluarga setiap masa. Luangkanlah masa juga walupun sedikit untuk ummah (berdoa). Percayalah, kalian semua akan rasai ketenangan apabila mengikhlaskan diri hanya kepada-NYA.

Moga Istiqamah sahabat.

P/S: ADUN berserban yang berada di barisan hadapan adalah datuk saya ketika sesi bergambar ADUN kelantan tahun 1956.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular