Ahad, 2 Ogos 2015

SURAT CINTA BERBAU SYURGA BUAT USTAZ DR ROZAIMI



Ke hadapan kakanda Ustaz Dr Muhamad Rozaimi yang saya segani, maafkan saya kerana menukilkan satu coretan khas buat kakanda Ustaz Dr dalam ruangan ini. Coretan ini bukan untuk mengeruhkan lagi keadaan namun ingin menjernihkan kembali tali silaturrahim agar dapat disimpul lagi erat. 

Saya dan kakanda pernah berada di dalam bahtera keilmuan yang sama. Kita sama-sama merintis peluang untuk diri merasai nikmat mengutip seberapa banyak ilmu di Dataran Syuhada Mu’tah suatu ketika dahulu biarpun berbeda pada zaman.

Keilmuan ustaz dalam bidang hadith tidak dapat dinafikan lagi, perbahasan secara ilmiah khususnya dalam Ilmu Takhrij Hadith, Rijal Hadith, Manahij Muhaddithin, Asbab Wurud Hadith dan sebagainya mampu menyedarkan masyarakat akan kepentingan ilmu ini. Kakanda banyak dirujuk oleh masyarakat awam bagi mengenalpasti antara status hadith yang sahih ataupun palsu. Alhamdulillah.

Saya tahu bahawa ramai yang tidak senang dengan pendekatan yang saya bawa. Namun saya terinspirasi daripada semangat Surah Syura Ayat 40, menongkah arus menerjang badai insya-Allah. Saya mengikuti secara dekat tentang apa yang belaku dalam ruangan FB Kakanda Ustaz Dr. Sedikit terkilan dek kelakuan sesetengah insan yang tidak begitu tepat dalam tindakan sehingga terpalit kesan negatif kepada jamaah ini. Jamaah yang diajar supaya beradab dan berakhlak.

Saya dengan rendah diri memohon kemaafan buat Kakanda Ustaz Dr. di atas kelakuan tersebut. Saya secara langsung telah menegur dan permohonan maaf secara terbuka sudah dilakukan Alhamdulillah. Terimalah kemaafan kami dengan hati yang terbuka walaupun dilakukan di ruangan peribadi, saya khuatir akan tindakan tersebut menghitamkan lagi keadaan yang sudah kelam.

Semoga respon balas secara ilmiah “Artikel Ustaz Zaharudin” diterima juga oleh kami dengan hati yang terbuka. Sambutlah salam ukhuwwah ini dengan roh kebenaran bersulamkan keikhlasan demi menggapai syurga-Nya. Lantas terimalah surat cinta berbau syurga daripada saya yang serba kekurangan ini.

“istiqamah Menuju Kemenangan”

Ahmad Syakir Bin Mohd Nassuruddin
Ketua Penerangan dan Media Baru Dewan Pemuda Pas Kawasan Rantau Panjang Kelantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular