Ahad, 2 Ogos 2015

TINTA BICARA BUAT PEMUDA


Tinta ini hanya berbicara kepada PEMUDA yang besar jiwa, cekal diri, jauh emosi dan tinggi harapan pada ummah. Saya berulang-ulang kali memberatkan fikiran untuk menggali segala rasa demi melihat sebuah kesatuan dibina atas dasar taqwa (lhat maksud istilah ini secara mendalam) walau berbeza pandangan.
Sahabat PEMUDA, saya bukanlah insan yang banyak menyuburkan jasa malah hanya sebuah liabiliti yang tiada guna, mungkin memberatkan lagi bahtera yang sedang sarat dengan hulubalang-hulubalang bersemangat sado. Maka bicara ini saya tintakan dengan penuh rendah diri buat sahabatku yang disayangi PEMUDA.
Sahabat PEMUDA, saat loceng amaran memekik menandakan bahawa bahtera ini sedang berlayar dalam kawasan zon yang tidak selamat. Kapten menitahkan agar semua penghuni bahtera supaya berhati-hati dan kembali ke tempat duduk masing-masing. Saat tu pengharapan kita hanya kembali kepada Allah antara selamat ataupun tidak. Bagi penghuni yang merasakan bahtera ini sudah hampir karam, siap sedia untuk terjun ke laut yang luas lalu dihalang oleh penghuni lain menyebabkan bahtera ini terumbang ambing bukan hanya dilambung ombak yang membadai, bahkan diperkotak katikkan oleh penghuni yang mula kepanikkan. Maka atas jalan kebenaran, terimalah tinta ini dengan roh Ukhuwwah Islamiyyah.
Bagi dunia PEMUDA, saya mengenali dengan rapat dengan beberapa pimpinan atasan yang baru mahupun yang lama. Saya teramat sedih dengan keadaan yang menyebabkan bahtera ini mula menjadi kusut dengan kehadiran insan-insan yang bukan ahlinya. Kalau kalian sebar beberapa keburukan pimpinan PEMUDA yang lama@baru ala-ala chai, maka dengan ini saya hidangkan dengan hidangan yang teramat lazat kepada kalian kebaikan pimpinan-pimpinan PEMUDA baru dan lama yang saya hormati dan segani.
Saya mulakan dengan pimpinan-pimpinan yang lama. Izinkan saya untuk guna panggilan abang. Buat Abang Suhaizan Kayat. Actor PEMUDA di era PRU 13, beliau mempunyai matlamat yang jelas dalam membawa sinar baru kepada PEMUDA, tenaga-tenaga baru diserap tanpa bias demi kelangsungan wadah ini. Harapan beliau juga jelas namun dek hanya sekelumit salah kerana begitu lunak dengan rakan tahalluf menyebabkan semua longgokan idea beliau ditolak, saya teramat sedih dengan keadaan ini, sepatutnya kita ambil mana yang baik dan tegur secara hikmah ala-ala adik beradik menyebabkan beliau beralih angin. Insan ini patut menjadi sang rijal yang berdaya saing dalam PEMUDA namun apakah daya.
Abang Nasaie Ismail selaku orang tulis (Jabatan Kesetiausahaan) dalam arena PEMUDA yang lama, insan yang teliti dalam menitipkan kalam. Orang pakar dalam mengolah isu-isu semasa dan sering menjadi hulubalang kelas pertama bersama rakan pakatan berada di barisan hadapan. Berani menyuarakan hak mewakili PEMUDA dan tidak pernah luntur semangat walupun diasak dari kedua-dua arah. Walaupun letih, sosok ini juga sentiasa menadah ilmu di APIUM dan sayalah saksinya.
Abang Hasbie Muda yang sudah terkenal dengan tulisan kritikal dan analitikal, membangunkan sebuah akademi dalam PEMUDA demi melihat kelangsungan dakwah khususnya dalam bidang pendidikan. Tiada istilah putus asa dalam sosok ini, ke sana ke mari berjuang melalui tinta, bacalah simpulan kata beliau dengan mata hati, terbentang keikhllasan dan terpancar dari lubuk hati nurani. Saya yakin beliau bersama saya dalam melestarikan impian kita (sebar kebaikan) untuk negara pertiwi.
Abang Ustaz Ramadhan Fitri, saya yakin ramai yang tidak mengenalinya.. Dalam arena PEMUDA, beliau mengambil sikap bersederhana namun setiap gerak kerjanya jalan. Lihatlah wacara pemikiran dalam mendepani isu perbezaan pendapat dibahas olehnya secara lumat hasil bedah buku para ilmuan. Saya terlalu kerdil dengannya, bahkan saat beliau turun memberikan taklimat kepada pelajar-pelajar Jabatan Syariah dan Pengurusan APIUM, saya mengikutinya dan setiap bait lafaz yang terkeluar daripada mulutnya menjelaskan sosok tubuh orang yang berilmu seperti beliau, cair bak air istilah English@Arab. Ramai lagi hulubalang kelas pertama yang menempa nama seangkatan dengan mereka namun lihatlah pada jiwa mereka sebagai wakil kepada semua.
Bagi pimpinan baru, izinkan saya menitipkan panggilan menggunakan kakanda sebagai hormat pada mereka atas kapasiti pimpinan PEMUDA. Ketua hulubalang kami kakanda YB Ustaz Nik Mohamad Abduh, bahasanya indah seindah kuntuman bunga yang mewangi, tintanya selari dengan lafaz. Saya mengenali sosok ini dan beliau persis Arwah Tok Guru kami. Insan ini punya wawasan yang jauh dan cerah. Kalian mencerca beliau dengan longgokan cercaan namun kakanda tetap bersifat hati cekal turun setiap masa menemui rakyatnya, nilaian kalian melalui media namun nilaian kami melalui mata hati.
Kakanda Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, orang nombor dua selepas ketua hulubalang kami, saya pernah bersua dengannya saat beliau mengerahkan segerombolan pasukan hulubalang khas dari Marang untuk membantu mangsa banjir di negeri kami. Bersualah dengan beliau pasti kalian kagum dengan insan ini. Lihatlah kenyataan media orang nombor dua kami.. PEMUDA sedang persiap untuk membumikan asas, menjejakkan diri, pasakkan hati dan istiqamah untuk turun ke medan.
Kakanda Ustaz Ahmad Fadhli Bin Shaari, super senior saya di Maahad Tahfiz Pulai Chondong. Ketua Angkatan Perang hulubalang kami yang pernah menjadi cerminan Arwah Tok Guru suatu ketika. Insan yang lantang bersuara demi menyebarkan kebenaran. Tidak pernah mengenal erti letih dan lelah bila berbicara, biar abis suara namun terus berjasa. Kekuatan beliau diperkukuhkan sampai tahap maksima melawan badai membantu kapten untuk menyelamatkan bahtera. Begitu juga dengan hulubalang-hulubalang kelas pertama memasak diri membina kekuatan demi ummah yang jasanya tidak terhitung.
Kalian terpesona dengan permainan persepsi, maka saya pesonakan kembali dengan hakikat alam realiti. Semuanya mempunyai jasa yang menggunung tinggi. Sahabat PEMUDA dan Ex PEMUDA, bahtera ini dikemudi oleh insan-insan yang ikhlas berjuang kerana Allah, mereka tahan dek ombak, utuh dek pukulan, cekal dek hasutan dan terus berlayar sehingga ke saat ini. Saya mohon tolong jangan bocorkan bahtera ini. Seandainya kalian ingin terjun, persiaplah segala kelengkapan sebaik mungkin, bagi yang kekal tolong jangan lemparkan tusukan tajam pada insan-insan yang sudah membulat tekad (titipkan doa untuk mereka).
Kami bina bahtera ini berpuluh-puluh tahun lamanya, maka duhai sahabat PEMUDA. Saya terlalu ingin melihat gabungan kekuatan antara kita terbina tanpa sesuatu halangan. Sambutlah salam perdamaian antara semua demi kelangsungan wadah ini. Kita beza pada pemikiran namun kita sama pada asas, kita sama pada matlamat, kita sama pada dasar, kita sama pada idola, kita sama pada semangat. Jangan dek satu perbedaan, melondehkan 1000 persamaan.
Ayuh PEMUDA, saat ini saya alirkan air mata pengharapan demi umat dan Islam melalui wasilah yang menggabungkan elemen siasah dan tarbiyah. Saat ini, keluarkanlah segala teori asas dakwah ini secara praktikal. Kita bisa menghunusnya secara tepat penuh beradab. Saat kebenaran itu menjelma, tiada lagi yang bisa diseleweng. Kita pejuang kebenaran, andai salah kita terima dan mula membumikan kembali secara tuntas. Moga diterima tinta ini berbicara secara bisu buat PEMUDA.
"Istiqamah hingga Kemenangan"
Ahmad Syakir Bin Mohd Nassuruddin..
Ketua Panglima Perang PEMUDA Wilayah Rantau Panjang Kelantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular