Ahad, 2 Ogos 2015

WARKAH CINTA BUAT USTAZ HASRIZAL



Menemui kakanda Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang saya hormati dan sayangi. Warkah ini terlalu kerdil buat kakanda Ustaz kerana saya hanyalah individu biasa yang baru menginjak ke umur 24 tahun. Tersangat mentah dalam arena perjuangan bahkan teraba-raba mencari sebuah erti kebenaran yang sebenar.

Saya terlalu kagum dengan sosok ini. Sebelum saya bermusafir ke Dataran Syam, hasil nukilan kakanda khususnya dalam buku “Rindu Bau Pohon Tin” yang mengisahkan cerita tentang Dataran Mu’tah dimamah oleh saya sebagai bekal apabila bertapa di sana.. Roda perjalanan kehidupan kita terselit sedikit persamaan. Kita berjuang untuk ilmu di dataran yang sama walupun zaman yang berbeza.

Hampir setiap masa saya melawati teratak blog kakanda bagi mendapatkan cetusan idea dan semangat. Kakanda Ustaz antara individu yang terawal menggunakan medium ini untuk menyebarkan dakwah. Saya sendiri pasti ramai yang tidak mengetahui suatu ketika dahulu, kakanda Ustaz pernah menulis banyak artikel ilmiah, perbahasan secara ilmiah mengikut ruang lingkup disiplin ilmu, antaranya perbahasan hukum muzik. Saya mengikutinya secara rapat dan banyak ilmu yang saya dapat.

Kakanda ustaz juga telah mengajar saya cara fikir yang kritis dan rasional mengikut kesesuaian suasana. Ustaz pernah ceritakan di dalam blog tentang bagaimana cara bertindak dengan menekan butang PAUSE dalam minda ketika anakanda ustaz menghempas papan kekunci laptop yang baru sahaj dibeli oleh ustaz. Pendekatan sebegini selalu saya ambil dalam meleraikan kekusutan tanpa melebarkan jarak beza.

Sehubungan dengan itu, saya mohon kepada sahabat-sahabat diluar sana agar berhati-hati menitip kata secara lafaz dan tinta. Beradablah apabila berbicara dengan individu yang banyak berjasa kepada ummah walau dalam lapangan yang berbeza.

Kakanda Ustaz Hasrizal, saya mengamati artikel luahan rasa yang dinukilkan oleh kakanda Ustaz yang bertajuk “Setia dengan Kebenaran Mengatasi Apa Jua Kepentingan.” Saya tersangat menghormati setiap bait-bait kata dengan penuh rendah diri bermatlamat untuk melestarikan nilaian ukhuwwah yang sebenar.

Pembabitan kakanda Ustaz dalam bidang perkaderan adalah suatu yang tersangat menguntungkan organisasi ini. Saya sebagai salah seorang anak muda terasa sangat bangga dengan ruangan masa yang kakanda sediakan. Kakanda telah mengorak langkah melawan arus untuk menyegarkan kembali roh perjuangan yang berteraskan Islam ini. Langkah demi langkah disusun namun kerenah dalam organisasi adalah menjadi kebiasaan. Tidak kira dalam organisasi mana pun.

Kemasukan ustaz-ustaz muda daripada luar negara dengan membawa idea yang berbeza pasti menyaksikan pertembungan idea. Saya tahu bahawa pengurusan untuk mengurus pertembungan ini kalau tidak diurus dengan baik, natijah yang akan keluar juga tidak baik. Begitu juga dengan kelemahan sesetengah daripada kita yang kurang berminat dengan aktiviti pembacaan harus menilik kembali dan kekuatan kita yang sebenar berada di mana.

Kakanda ustaz, saya tahu bahawa ramai dalam kalangan ustaz muda yang betul-betul bersemangat apabila turun ke lapangan buat kali yang pertama. Namun saya optimis, apabila semangat tersebut disalurkan pada jalan yang betul, pasti dapat mengubah kembali cara fikir dan cara bertindak kearah yang lebih matang dan inklusif untuk semua.

Menyentuh isu profesional dan agamawan, saya sendiri agak keliru kenapa isu ini sampai sekarang dimainkan oleh sesetengah pihak sampaikan ada dalam kalangan pimpinan kita turut bernada sinis mendendangkannya kepada masyarakat. Saya suka untuk mentafsirkan profesional sebagai orang yang pakar dalam bidang masing-masing tidak kira ustaz, peguam, pensyarah dan sebagainya. Apabila kita menggunakan satu-satu istilah itu ke arah menyatukan, sebarang persepsi buruk segera dapat dijauhkan.

Begitu juga dengan pengurusan organisasi bagi sesiapa yang terbiasa menjadi ahli khususnya berada dalam bidang kesetiausahaan. Tugasan yang cukup mencabar ditambah pula dengan lambakan kerja yang tidak berkesudahan. Organisasi kita juga turut mengalami keadaan yang sama. Moga-moga keadaan ini dapat ditempuhi sebaiknya dan diperbaharui dari semasa ke semasa.

Setiap kalam yang dinukilkan oleh kakanda Ustaz Haasrizal, moga dijadikan sebagai pedoman secara tuntas. Saya menganggap teguran itu sebagai sebuah muhasabah untuk seluruh jentera pemuda di semua peringkat disamping berpatisipasi tentang isu-isu semasa dalam negara. Hal-hal lain melibatkan kelakuan kakanda Ustaz usah diperbesarkan dan dijadikan sebagai bahan panas bak ‘pisang goreng.’ Cukup tidak mencerminkan akhlak kita yang sebenar.

Oleh itu, saya menghulurkan salam ukhuwwah, salam penyatuan dan salam kemaafan buat Kakanda Ustaz Hasrizal. Saya tersangat berterima kasih atas segala jasa yang dicurahkan oleh ustaz sepanjang penglibatan dalam jamaah ini. Akhir kata, marilah kita menbulatkan tekad untuk sama-sama membina sebuah masyarakat yang harmoni, saling hormat menghormati serta mendepani setiap halangan dengan roh ukhuwwah yang sebenar. Sekian.

"Istiqamah Hingga Kemenangan"

Ahmad Syakir Bin Mohd Nassuruddin
Ketua Penerangan dan Media Baru Dewan Pemuda Pas Kawasan Rantau Panjang Kelantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular